Isnin, 28 Jun 2010

HARI ILMU & GERAKAN MEMBACA PERDANA SELANGOR 2010


SATU JAM BACA BUKU SERENTAK
‘Largest Outdoor Reading Event In Malaysia’

Hari Ilmu dan Gerakan Membaca Perdana Selangor 2010 mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai ‘Largest Outdoor Reading Event In Malaysia’ di atas kejayaan mengumpulkan hampir 15,000 peserta bersantai sambil membaca buku serentak selama satu jam bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 11.00 pagi di sekitar Taman Tasik Shah Alam pada 26 Jun 2010.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, beliau amat berbangga kerana sasaran penyertaan sebelum ini hanya 5,000 peserta sahaja. Seramai 14,718 peserta berdaftar yang menyertai Gerakan Membaca Perdana Negeri Selangor 2010.
“Sambutan ini julung kali diadakan bersempena bulan ilmu yang secara rasminya disambut pada bulan Jun bermula tahun ini bagi meneruskan usaha merangsang dan mempromosikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat”, katanya.
Kerajaan Negeri akan memupuk tabiat menulis di kalangan rakyat dengan memulakan penulisan sebuah buku unik yang memuatkan cadangan, impian dan idea untuk merealisasikan hala tuju Selangor 2025.
“Tajuk buku adalah Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Kebajikan. Dijangka sekurang-kurangnya 1,000 rakyat dan pimpinan Selangor akan siap menulis dalam masa enam bulan. Insyaallah, buku yang sempurna akan terhasil menjelang Hari Ilmu Selangor Jun 2011. Sultan Sarafuddin berkenan memulakan dan mengakhiri tulisan buku penuh sejarah yang akan dipamerkan di PPAS untuk tatapan pengunjung seluruh dunia”, katanya.
Yayasan Selangor dipilih sebagai agensi atau jabatan kerajaan dengan membawa pembaca teramai bagi acara ini iaitu 1,310 penyertaan.
Hari Ilmu & Gerakan Membaca Perdana Selangor 2010 ini dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sultan Sharafuddin yang berharap konsep Hari Ilmu dan Gerakan Membaca mampu melahirkan rakyat bijak dan berkualiti serta menjadikan Selangor pusat pencarian ilmu turut mencemar Duli melawat pameran Pesta Buku Selangor 2010 di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Pesta Buku yang merupakan penganjuran kali kelima dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyasarkan bilangan pengunjung seramai 450,000 orang pada tahun ini berbanding 390,000 orang pengunjung pada tahun lepas. Bertemakan “Jom Membaca Di Mana-mana” pesta buku berlangsung selama 11 hari bermula 25 Jun 2010 sehingga 5 Julai 2010 di Kompleks PKNS menyediakan 114 gerai yang menyajikan pelbagai bahan bacaan menarik selain potongan harga. Jom beramai-ramai kita ke sana.

Sijil Penyertaan

The Malaysia Book of Records

Tiada ulasan:

Catat Ulasan